Iman dan Amal – Pengertian
Iman mengikut pengertian syarak adalah keyakinan yang teguh dalam hati, mengakui dengan lidah dan melaksanakan dengan anggota tubo badan . Inilah yang dinamakan ketaatan; amal yang soleh dan perlakuan yang baik.
Seorang yang benar-benar beriman adalah mereka yang zahirnya sama dengan batinnya, mereka benar dalam keimanan dan ikhlas dalam melakukan amalan. Merekalah golongan ‘as-Sodiqun’ yang diperintah oleh Allah S.W.T agar kita sentiasa mendampingi mereka (bersahabat dengan mereka).
Oleh sebab tingginya kedudukan iman maka Allah S.W.T telah menjadikan iman itu sebagai syarat asas penerimaan terhadap sesuatu amalan yang dilakukan di mana tidak akan ada satu amalan pun yang akan diterima oleh Allah melainkan setelah adanya iman di dalam diri pelakunya.
Sesiapa yang mendakwa beriman dengan lidahnya tetapi iman itu tidak meresap ke dalam hatinya maka dia merupakan orang yang munafiq. Ciri-ciri munafiq itu ialah kata-katanya bercanggah dengan perbuatannya dan amalannya ketika di khalayak ramai dan ketika dia bersendirian serta apa yang dizahirkannya adalah berbeza dengan apa yang disembunyikannya.
Iman dan amal soleh adalah seiring. Iman tidak akan sempurna tanpa amal soleh di mana Allah telah menyebutkan perkara ini sebanyak 60 kali di dalam al-Quran.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam
Iman adalah kepercayaan atau tasdiq yang kukuh melalui pengucapan lidah dan keyaqinan dalam hati terhadap Allah, kepercayaan kepada Rasul, kepercayaan kepada Malaikat, kepercayaan kepada Kitab-kitab, kepercayaan kepada Hari Akhirat dan kepercayaan kepada Qada' dan Qadar, baik dan buruk daripada Allah s.w.t.
Iman juga disebut sebagai akidah yang teguh terhadap semua ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tidak boleh diubah atau dipisah-pisahkan daripada keyakinan seseorang itu.
Pengertian iman dan akidah seperti yang disebut di atas adalah berdasarkan kepada kenyataan berikut:
Firman Allah SWT:
Maksudnya:
“ Maka sesiapa yang tidak percayakan kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan ( tali agama) yang kukuh teguh, yang tidak akan terombak (putus). Dan (ingatlah) , Allah maha mendengar lagi Maha Mengetahui .” (Al Baqarah : 256)
Sabda Rasullah SAW:
Maksudnya:
“Iman ialah bahawa engkau beriman dengan Allah, kepada malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya,kepada Rasul-rasul-Nya, kepada Hari Qiamat dan hendaklah engkau beriman kepda Qadar yang baik dan buruk.”
(Muslim dari Umar bin Al-Khattab)
Tiada dikategorikan seseorang itu sebagai telah beriman dalam erti kata beriman dengan sebenarnya jika dia tidak menerima secara bersungguh atau hanya mempercayai sebahagian dari rukun iman dan menolak sebahagian yang lain. Sesiapa yang menolak sebahagian atau meragui sebahagian dari rukun Iman bererti dia seolah-olah menolak keseluruhan rukun iman
Maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) :” Sesiapa yang memusuhi Jibril, maka sesungguhnya Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada dihadapannya (yang diturunkan sebelumnya) serta menjadi pertunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman. Sesiapa yang memusuhi Allah (dengan mengingkari segala pertunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi malaikat-malaikat-Nya serta rasul-rasul-Nya,khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang yang ingkar.” (Al Baqarah : 97-98)
Iman dan aqidah bukan hanya sekadar percaya kepada rukun iman, tetapi iman dan akidah mesti lahir dalam bentuk amalan dan perbuatan.
Tidak timbul rasa keagungan, kekuasaan dan kebesaran Allah dalam jiwa seseorang itu kalau dia tidak mengenali sifat-sifat keagungan dan kebesaran serta kekuasaan Allah SWT
No comments:
Post a Comment